Lama rasanya laman ini ditinggal sepi. Pelbagai kisah suka duka datang dan pergi. 2012 berlalu meninggalkan kami datang pula 2013 sebagai ganti. Kenangan manis mencuit hati, yg sedih juga tidak dilupai semua itu kita simpan sebagai memori.
Ada kisah yang ummi teringin sangat untuk berkongsi, sebahagian ummi simpan sebagai memori sebahagian lagi ummi nak kongsi manalah tahu pengalaman ini boleh diteladani. Banyak-banyak pengalaman dalam tahun 2012, pengalaman yang satu ini sangat menyentuh hati.
November 2012, merupakan detik paling manis bagi kami sekeluarga, baik di pihak ummi mahupun di pihak suami. Saat paling gembira bila ummi dikhabarkan dengan kehadiran orang baru dalam keluarga kami. Tapi sayangnya, sesuai dengan tajuk entri ummi kali ini...dia datang dan dia pergi...
Pada suatu malam jumaat yang indah pada penghujung November 2012, ummi mengajak suami ke klinik kerana perjalanan haid ummi agak terganggu. Tidak seperti biasa, sangkaan ummi mungkin kami baru balik dari Kelantan, Perjalanan yang jauh mungkin menganggu perjalanan haid ummi. Setelah di scan oleh doktor, doktor menyuruh ummi melakukan ujian air kencing. Menurut kata dr, kelihatan rahim sedikit bengkak. Tiba-tiba wajah Doktor berubah ceria, dan menyorokkan "pregnancy test" daripada ummi. "Ina tak boleh tgk..nak tunjuk Bard dulu".. kata Doktor.
Dalam keadaan termangu-mangu tapi ummi sudah boleh tangkap apa yang berlaku. "Tahniah Bard..yang ditunggu-tunggu sudah tiba... hah! komperm ina mengandung..."...kata Dr. lagi. ya Allah tidak dapat kami gambarkan saat itu, bagaimana lajunya jantung ummi dan suami ketika itu. Maklumlah dah 12 tahun kami menanti..
Edisi sebagai permaisuri pun bermula.. usai keluar dari klinik, semua ahli keluarga disuruh taliponya oleh abang aji. Sedikit sedih, masa tu anak-anak semua di kampung. Kami telefon mak.. dan anak-anak. Aduhai gembirnya mereka. Pada ketika itu, bahagianya kami seperti dunia ni kami yang punya. Malam tu kami tidur dengan wajah yang berseri-seri.
Setiap hari, internet yang abang aji layari berkisar tentang pemakanan yg baik untuk ibu dan bayi. Segala apa yang dibaca semua dia beli. Layanan abang aji ngan anak-anak memang ummi rasa macam permaisuri.
Tetapi ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Pengalaman mengandung dan keguguran 5 tahun lepas berulang kembali. Kejadian yang sama juga..ketika usia kandungan menjangkau 8 minggu darah mula keluar. ketika melihat darah keluar ...aduhai hancurnya hati Allah saja yang tahu.
Kami gagahi juga detik-detik ini, kami tidak berputus asa...dapatkan nasihat orang tua-tua, nasihat doktor dan layari juga laman-laman yang berkaitan dengan pendarahan ketika mengandung. Lapang dada kami bila berjumpa doktor, doktor scan dan dapati kantung bayi kami cantik. Sepanjang bercuti, ummi banyak berehat dan berehat, tetapi darah tetap keluar tidak berhenti-henti seperti orang datang haid.
Sudah takdir tiada rezeki kami, tanggal 26 Disember 2012, perut ummi memulas-mulas seperti sengugut dan pinggang ummi bukan main sakit seperti orang hendak bersalin. Perancangan Allah itu Maha cantik, jika kita berdoa Allah tidak pernah lalai, Doa ummi di terima Allah. Ummi selalu berdoa, andai tiada rezeki ummi untuk mengandung janganlah dia gugur di tandas-tandas awam, gugurlah ditempat yang bersih dan tempat yang ummi selesa dan moga Allah permudahkan segala urusan ummi. Alhamdulillah pagi itu, dia gugur di pejabat ummi. Seperti orang bersalin, selepas keluar semuanya isi bercampur darah berketul-ketul kesakitan yang ditanggung tadi, semuanya reda.
Setelah mengambil janin itu ummi cuci dan masukkan ke dalam mangkuk. Sebak hati bila janin itu sudah mempunyai bintik hitam di kiri dan kanan, mungkin matanya ummi rasa dan janin berada dalam keadaan yg baik bulat dan tidak pecah. Ummi dan suami terus pergi ke hospital dan doktor mengesahkan semuanya sudah bersih dan tak perlu D&C. Itulah doa ummi yg ummi tak mahu di D&C. Terima kasih ya Allah kerana memakbulkan doa ummi.
Adiklah orang yang paling kecewa sekali kerana dialah orang yang paling mengambil berat tentang ummi sepanjang tempoh ummi mengandung. Yang melucukan bila adik kata " adik dah jaga baik-baik pun dia gugur jugak..." untuk menyedapkan hati adik, ummi pun mencelah " macamana nak dapat adik, muka adik ni comel macam baby baby.. cukuplah adik jek jadi baby ummi..."
Apa pun terima kasih Allah kerana meminjamkan kami sekeluarga detik indah ini walau hanya untuk 2 bulan. Satu yang ummi pegang, kita merancang dengan cita-cita, Allah pula merancang dengan cinta, Kalau kita syukur Allah tambah nikmat, kalau kita kufur Allah tarik pula nikmatnya. ada hikmah disebalik segalanya. Itulah sebuah kehidupan...dia datang dan dia pergi... pada Allah kita datang pada Allah jua kita dikembali.